DAPATKAN NOTA-NOTA SERTA SOALAN DAN SKEMA BIOLOGI DISINI - SILA KLIK

Wednesday, September 23, 2009

Apa Selepas Ramadhan?

APA SELEPAS RAMADHAN?

“Apa selepas Ramadhan?” persoalan berat yang mengulang datang.

“Kembali kepada diri sebelumnya?” kebarangkalian yang amat meletihkan.

Timbul bibit sesal.

“Mampukah untuk terus berlaku baik dan terus menerus menambah baik?” pertanyaan yang berat di pertimbangan. Segalanya menjadi bahan renungan pada malam-malam akhir melepaskan Ramadhan. Menggamit Syawwal dengan seribu satu persoalan, yang kesemuanya adalah tentang ISTIQAMAH. Itulah persoalannya. Istiqamah, konsistensi untuk kekal baik dan lebih baik.

KEPELIKAN

Memang pelik, manusia berbondong-bondong mengejar solat SUNAT Tarawih di Masjid, tetapi lengah terhadap solat FARDHU yang WAJIB sepanjang masa.

Pelik benar Ramadhan diisi dengan al-Quran, 11 bulan yang lain, al-Quran ditinggalkan.

Janggal benar, Ramadhan menutup aurat, bulan-bulan yang lain macam berubah hukum, berubah Tuhan… justeru asing sekali, puasa sudah puasa, tetapi SOLAT belum-belum juga!



Semua itu adalah sebahagian daripada kepelikan kita.

Keganjilan yang terbit daripada berlainannya watak dan pembawaan kita di dalam bulan Ramadhan dan bukan Ramadhan. Itulah kusutnya persoalan istiqamah.

BEBAN ISTIQAMAH

“Apa yang telah menjadikan engkau tua beruban?” tanya sahabat kepada baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

“Aku telah diubankan (dituakan) oleh Surah Hud…” kata Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dalam sepotong hadith yang direkod dari Ibn Abbas Radhiyallahu ‘anhuma.

Itulah beban surah Hud, surah yang memperkatakan tentang istiqamah, bahawa setelah hati disentuh iman, hidup bersama iman dan akhirnya mati dengan iman.

Bagaimanakah Ramadhan dan segalanya boleh kekal hingga ke penghujung, khawatim yang hasanah?

RUKUN ISTIQAMAH

Tiada andaian-andaian yang bisa membantu seseorang itu untuk beristiqamah, melainkan harus patuh kepada rukun-rukunnya yang dibentangkan Allah di dalam surah Hud.

Di dalam konteks yang lebih umum, saya telah bahaskan hal ini di dalam artikel bertajuk, AGAMAKU BERDIRI DI ANTARA DUA JANGAN. Akan tetapi, peraturan-peratuan Allah itu akan cuba kita sesuaikan dengan Ramadhan serta ibadah-ibadahnya sebagai proses juga perlatihan. Betapa Ramadhan itu memang sebuah perlatihan untuk menghasilkan istiqamah.

Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 112 hingga 115:



* (112) Oleh itu, hendaklah engkau (Wahai Muhammad) sentiasa teguh berdiri di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas; Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
* (113) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
* (114) Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.
* (115) Dan sabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

RUKUN PERTAMA: JANGAN MELAMPAU DALAM BERAGAMA



“Janganlah kamu melampau”

Biasa sekali kita ketemu orang yang cenderung kepada perbuatan melampau dalam beragama. Tidak perlu kepada contoh-contoh yang ekstrim. Cukup sekadar melampau itu diertikan sebagai melakukan sesuatu melebihi apa yang diperintahkan oleh Allah SWT, dengan sangkaan bahawa memberat-beratkan diri dengan melampaui perintah Allah itu petanda kepada TAQWA.

Di bulan Ramadhan, melampau dalam beragama itu dirawat seawal teguran Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada perbuatan berpuasa yang berlebih-lebihan meliputi puasa berterusan selama 3 bulan bermula dari Rejab, Syaaban hingga ke akhir Ramadhan.

Uniknya, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengingatkan kita sesuatu tentang amalan bersahur dan melewatkannya, serta amalan menyegerakan berbuka puasa.

“Bawa bertenang, kalau tak bersahur pun bukannya tak boleh. Jom makan siap-siap. Ini pun dah jam 12 malam” kata seorang anak muda kepada rakannya.

“Alahai, aku agak dah. Jalan mesti sibuk punya. Tak apalah, bukannya mati berbuka lewat setengah jam” kata seorang lelaki yang terperangkap di tengah-tengah lautan kereta.

Sikap mengabaikan amalan bersahur dan membiarkan kejadian terlewat berbuka puasa kerana terperangkap di dalam traffic jam yang sudah dijangka, adalah menyanggahi peringatan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.



Daripada ‘Amr bin al-’Aas radhiyallahu ‘anhu, bahawa sesungguhnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Pemisah di antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab adalah (kita ini) makan sahur” [Hadith Riwayat Muslim (1096)]



“Agama kita akan teguh nyata selama mana orang ramai menyegerakan berbuka puasa kerana sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani itu melewatkannya”

Begitu signifikan sekali perintah menjamah sahur serta menyegerakan berbuka puasa, hingga kedua-duanya dikaitkan dengan soal jati diri, pembeda di antara Muslim dengan Yahudi dan Nasrani. Dalam erti kata yang lain, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menggambarkan kepada kita bahawa berpuasa lebih awal dari yang sepatutnya, dan lebih panjang dari yang telah ditetapkan, menyerupai pemikiran dan kecenderungan Ahli Kitab, Yahudi dan Nasrani.

Kecenderungan apakah itu?

Tidak lain dan tidak bukan, iaitulah kecenderungan kepada perbuatan melampau dalam beragama.

Kemusnahan ajaran Yahudi dan Nasrani banyak berlegar di sekitar perbuatan melampau dalam beragama. Lihat sahaja kepada idea mengharamkan perkahwinan semata-mata kerana mahu mendampingi Tuhan. Lihat sahaja pemujaan Nasrani ke atas Nabi Isa ‘alayhi al-Salam yang mengangkat baginda ke maqam Tuhan… dan banyak lagi contoh betapa penafsiran dan pemahaman terpesong yang melampaui ketetapan Allah SWT amat mengundang binasa.

Justeru di bulan Ramadhan, perbaikilah kecenderungan diri kita yang sering menganggap perkara-perkara yang berat dan susah itu sebagai jalan menuju TAQWA.

Sesungguhnya sifat melampau dengan mengabaikan penagguhan sahur ke hujung malam sahur serta kesegeraan Iftar ketika sampai masa berbuka, juga memberat-beratkan ibadah puasa hingga berpuasa di sepanjang Rejab, Syaaban dan Ramadhan, apatah lagi puasa di sepanjang tahun… perbuatan melampaui perintah Allah itu mencabar upaya konsistensi.

Justeru amalan yang sederhana malah sedikit tetapi konsisten itulah yang terbaiknya. Juga sebaik-baik amalan adalah mematuhi had minimum juga had maksimumnya kerana “sesungguhnya berlebihan dan berkurangan adalah adik beradik,” kata Sheikh Fadhl Hasan Abbas ketika menyentuh isu ini (Al-Khumasiyyat al-Mukhtarah fi Tahdhib al-Nafs al-Ammarah)

Keterangan-keterangan al-Quran sering menyertakan perbuatan melampau ini dengan fasad. Melampau punca kerosakan. Sifat melampau (taghut dan tughyan) itu dirujukkan kepada kaum ‘Aad dan Thamud, Firaun dan Qarun, bahawa melampau mereka itulah yang mengundang kerosakan dan kebencanaan.

Bukan hanya pada soal moral dan akhlaq, malah hukum Allah pada alam juga begitu. Melampau pada makan minum, binasa badan, melampau pada meratah alam, kehidupan manusia binasa. Sifirnya mudah, melampau itu membunuh keseimbangan. Ia tidak mesra alam, kerana itu ia dicela Pemilik alam.

Jangan melampau dalam beragama. Pada amalan, juga pada prinsip, pemikiran dan perasaan.

Masyhur tercatat, sahabat yang kepingin solat malam tanpa tidur, puasa tanpa iftar dan beribadah tanpa nikah, dicela oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam kerana itu bukan caranya manusia berTuhan.

Semua harus seimbang.

Puasalah, tetapi berbukalah juga. Bangunlah malam, tapi peruntukkan juga masa untuk tidur. Beribadahlah semahunya, tetapi bernikah juga.

Enggan pada peraturan seimbang ini, “engkau bukan dari umatku” kata Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

RUKUN KEDUA: JANGAN CENDERUNG KEPADA GOLONGAN YANG ZALIM

Melampau itu zalim, kerana ia meletakkan pemikiran dan tindakan di luar neraca agama yang ditentukan Allah. Lantas kezaliman itu juga harus dihindarkan sejajar dengan rukun kedua Istiqamah, iaitu jangan pula cenderung kepada golongan yang zalim.

Jangan zalim, dan jangan cenderung kepada si zalim.

“Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim”



Hasan al-Basri pernah menyebut, “telah dijadikan agama itu di antara DUA JANGAN. Jangan melampau, dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim”

“Cenderung yang bagaimana?” saya bertanya.

“Cenderung pada dua keadaan. Sama ada kecenderungan prinsip dan emosi, atau kecenderungan pada kebergantungan” kata Sheikh Fadhl Hasan Abbas di dalam bukunya al-Khumasiyyat al-Mukhtarah yang berada di tangan saya.

Kecenderungan pertama yang menghapuskan Istiqamah dan konsistensi, ialah pada kecenderungan hati dan emosi kepada manusia yang berlaku zalim. Hatinya tidak menolak, malah cenderung pula dengan jiwa dan perasan, atas sebab yang pelbagai. Rasa terhutang budi, lemah pendirian, semua itu boleh sahaja menjadi puncanya.

Manakala kecenderungan kedua pula, ialah berbalik kepada makna perkataan RUKUN yang digunakan di dalam ayat itu tadi. Rukun itu adalah tempat bersandarnya sesuatu, sebagaimana struktur rumah bergantung kepada tiang yang disebut RUKUN. Maka mereka yang cenderung kepada manusia zalim itu, antaranya ialah manusia yang bergantung kepada si zalim.

Bergantung kepadanya untuk makan minum.

Bergantung kepadanya untuk mengekalkan posisi. Atau apa sahaja kebergantungan yang berbalik kepada penggadaian prinsip itu tadi.



SIAPA SI ZALIM ITU

Oleh kerana ia disebut secara umum, maka Sheikh Fadhl Hasan Abbas memilih untuk mengekalkan konteks umumnya. Si zalim itu boleh jadi orang bukan Islam yang menindas, ia juga boleh jadi Muslim sendiri yang turut berlaku zalim dengan pelbagai wasilah yang ada. Maka konsistensi seorang mukmin amat penting pada mengelakkan diri dari kecenderungan kepada golongan ini.

Manusia zalim itu adalah manusia mensyirikkan Allah, melakukan maksiat dan menindas hak sesama manusia.

Mungkin dalam konteks kehidupan semasa, bagi kita yang telah berhasil membuat perubahan kepada kebaikan, peliharalah rukun kedua ini tatkala berada bersama dengan lingkungan kenalan lama yang masih mengajak kepada clubbing, main golf hingga mengabaikan solat dan sebagainya.

Jangan pula perubahan kita terus membawa kita kepada memencilkan diri dan meninggalkan mereka. Mana tahu, perubahan kita itu boleh menjadi asbab untuk Allah memercikkan hidayah kesedaran yang sama kepada mereka. Tetapi dalam pada kita meneruskan persahabatan dengan mereka, hati jangan cenderung kepada kezaliman, yakni maksiat-maksiat mereka. Jangan kerana mahu menjaga hati, kita terpaksa mengikut kehendak mereka. Andai berlaku perkara sebegini, hilanglah daya diri untuk istiqamah dalam mengekalkan perubahan yang telah dijana.

Mereka perlu didampingi demi dakwah. Tetapi dampingan itu bukan dengan kecenderungan prinsip untuk mengiyakan perlakuannya. Soal pendekatan, itu pelbagai. Tetapi pada melihat kemungkaran dan kezaliman itu sebagai kemungkaran dan kezaliman, ia harus jelas di dalam pegangan diri.

Manusia zalim itu adalah manusia penindas.

Manusia zalim juga adalah manusia menduakan Tuhan.

Manusia zalim itu manusia yang berprinsip salah, meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

KISAH TUKANG JAHIT

Sufyan al-Thauri pernah ditanya oleh seseorang, “aku bekerja sebagai penjahit untuk si zalim itu. Apakah aku termasuk di dalam golongan orang cenderung kepada si zalim? (merujuk ayat surah Hud ini)”

Sufyan al-Thauri menjawab, “tidak! Bahkan engkau termasuk di dalam golongan manusia yang zalim. Ada pun mereka yang cenderung kepada si zalim (yang disebutkan oleh surah Hud itu) ialah mereka yang menjual jarum kepadamu untuk kamu menjahit!”

Begitu sekali kerasnya amaran Sufyan al-Thauri kepada lelaki berkenaan.

Istiqamah itu sangat berkait rapat dengan keseimbangan. Seumpama seorang yang meniti di atas jambatan lurus yang kritikal. Sepenuh konsentrasi harus tertuju pada upaya untuk mengimbangkan diri. Jambatan itu terus lurus, namun kegagalan kita mengimbangkan diri dalam perjalanan itulah yang akan menjadikan kita terjerumus.



Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Golongan yang cenderung kepada para zalimin, bukannya dicampakkan ke neraka, bahkan mereka itu disambar oleh api murka Allah. Semua itu terjadi kerana ketiadaan upaya ingkar hatinya terhadap kesalahan berlaku zalim, sesuatu yang Allah sendiri haramkan ke atas Diri-Nya. Justeru tiada pembantu di Akhirat, selepas terhina di dunia kerana tiada pembantu selepas Allah berlepas Diri darinya.



Semoga pelaziman ke masjid di sepanjang Ramadhan menemu dan membiasakan kita dengan manusia-manusia yang baik, sebagai kenalan kehidupan menuju husnul khatimah.

RUKUN TIGA: DIRIKAN SOLAT



Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

Istiqamah bersandar kepada Solat. Solat itu menjadikan kita terus menerus berhubung dengan Allah SWT. Pada bahagian siang dan bahagian malam, Solat berfungsi menjadikan seseorang itu sedar akan hidupnya yang berTuhan. Sentiasa connected dengan Allah SWT.

Ramadhan datang dengan pakej Qiyam Ramadhan sebagai perlatihan ke atas diri secara tubi agar solat menjadi kebiasaan. Bukan sekadar suatu pengabdian, malah menjadi kerehatan.

Berehat dengan bersolat? Janggal benar bunyinya.



Janggal, hanya jika kita terlupa bahawa dengan solat itulah setiap kita bercakap dengan Yang Maha Pengasih. Soalnya, adakah kita kekasih yang mengasihi Sang Maha Pengasih itu? Itulah jawapan, sama ada solat menjadi kerehatan buat diri atau sebaliknya.

Orang yang berkasih boleh berbual telefon berjam-jam lamanya. Tidak jemu bercakap dan tidak jemu mendengar percakapan. Kuasa kasih, menjadikan kesusahan hilang keberatan, jadi kenikmatan juga kerehatan.

Jika terbeban dengan solat, tandanya kita tidak mengasihi Kekasih yang Maha Pengasih itu…

Lantas, mampukah kita konsisten, beristiqamah dengan kehendak-kehendak-Nya, tanpa kasih kepada Dia?

Peringatan juga buat kita semua, khuatir sekali jika sepanjang hayat kita bersolat, tetapi lima hari terakhir sebelum mati kita tidak bersolat kerana uzur, walhal selagi masih sedar, selagi itulah kita mukallaf terhadap kewajipan solat itu. Mampukah kita pastikan solat kita hingga ke waktu solat terakhir sebelum berangkat mati?

Allah! Allah!

RUKUN EMPAT: BERSABARLAH

sabar.JPG

Dan sabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

Sabar itu sudah saya kupas dengan panjang lebar di sepanjang Ramadan, bahawa ia saya fahamkan sebagai keupayaan mengawal diri dan tindakan.

Bersabarlah wahai sekalian kita dalam beribadah, dalam belajar untuk jadi terpelajar.

Bersabarlah wahai sekalian kita dalam berdakwah, agar penolakan yang berlaku tidak mendorong kita mencari jalan pintas yang mengugat Istiqamah.

Sabar menjadikan kita terhindar dari dorongan emosi yang mengundang sifat melampau. Sabar menghindarkan diri kita dari ghurur dengan ilmu yang kita perolehi kerana sesungguhnya ilmu dan harta adalah dua subjek panas tatkala masuk ke genggaman seseorang. Sabarlah… agar ilmu datang dengan ketundukan, hartamu datang diiringi kesyukuran.

Jangan dengan ilmu itu kamu melampau.

Jangan dengan harta itu kamu melampau.

Sebagaimana jangan dengan kuasa itu, kamu melampau.

Bersabarlah… tiada sabar kecuali dengan Allah, tiada sabar kecuali dengan melazimkan diri bersama Allah, tiada sabar kecuali sabar untuk Allah, dan jangan sekali-kali berlaku sombong dengan menyabarkan diri DARI Allah.

Berat sungguh pengucapan Istiqamah ini.

Tidak hairanlah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam naik beruban kerana memikirkannya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Kullu ‘Aam wa Antum bi Alf al-Khayr…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

STAND2 dalam Sinar Harian

Buat warga SMKTD2 yang tidak berkesempatan membaca artikel berkenaan STAND2 yang telah keluar dalam Sinar Harian, disini saya ada postkan keratan artikel berkenaan. Silalah baca.



Aidilfitri Buat Saudara Mara & Sahabat Handai

Sukan Tahunan Al-Hakim - M.Syukri Farhan





Thursday, September 10, 2009

Air Mata Rasulullah S.A.W

Oleh : Musyairie

Tak bosan-bosan rasanya membaca kisah ini...

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. 'Bolehkah saya masuk?' tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, 'Maafkanlah, ayahku sedang demam', kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, 'Siapakah itu wahai anakku?'
'Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,' tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan.

Seolah-olah bahagian demi! bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

'Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia.
Dialah malaikatul maut,' kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.

Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

'Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?', tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.
'Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu.
'Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu, ' kata Jibril.
Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. 'Engkau tidak senang mendengar khabar ini?', tanya Jibril lagi.
'Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?'
'Jangan khawatir, wahai Rasul ! Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat
Muhammad telah berada di dalamnya,' kata Jibril.
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik.

Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. 'Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.'
Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

'Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?'
Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.
'Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,' kata Jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, karena sakit yang tidak tertahankan lagi.

'Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.'
Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.
Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, ! Ali segera mendekatkan telinganya. 'Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku'
'peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.'


Diluar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan.
Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

'Ummatii,ummatii, ummatiii? ' - 'Umatku, umatku, umatku'
Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.
Kini, mampukah kita mencintai sepertinya?
Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi

Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

NB:
Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesadaran untuk mengingat maut dan mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita.

Apabila Gadis Amerika Yang Memelihara Aurat Berjaya



Saya tertarik dengan laporan akhbar The Star pagi ini berkenaan Majlis Iftar yang dianjurkan oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Washington DC. Memang Obama bukannya Presiden Amerika yang pertama menganjurkan majlis berkenaan kerana ia pernah dianjurkan oleh beberapa Presiden sebelumnya. Tetapi apa yang saya mahu kongsikan di sini adalah peristiwa yang berlaku dalam majlis berkenaan.

Dalam ucapannya Obama turut memperkenalkan kepada mereka yang hadir salah seorang jemputan khasnya iaitu seorang gadis Amerika kulit hitam bernama Bilqis Abdul Qaadir. Beliau menganggap pencapaian Bilqis boleh memberikan inspirasi bukan hanya kepada gadis Muslim yang lain malah seluruh rakyatnya.

Bilqis merupakan pelajar cemerlang yang kini menuntut di Universiti Memphis, dan kecermerlangannya bukan hanya pada bidang akademik malah termasuklah sukan bolajaring sejak dari bangku sekolah lagi. Dan yang hebatnya bagi saya pencapaian ini diperolehi Balqis dalam keadaan beliau memelihara auratnya sebagai seorang Muslimah.

Semoga kejayaan beliau ini akan mengangkat martabat wanita Muslim dan mematahkan tohmahan golongan yang menganggap kewajiban menutup aurat bagi wanita Islam adalah suatu penghalang dan menyekat kemajuan.

Kalau gadis Amerika Syarikat, sebuah negara maju yang dipandang tinggi oleh dunia boleh menempa kejayaan seumpama ini, yang di Malaysia bagaimana? Mudah-mudahan semangat Ramadhan mengetukdan membuka pintu hati kita bagi menerima bahawa yang hak itu hak dan yang batilitu batil, insyallah.

Berikut adalah laporan dari Jamaah at Taqwa berhubung gadis ini yang boleh dibaca di:

http://www.shawuniversitymosque.org/JTaqwa/modules.php?name=News&file=print&sid=2217