DAPATKAN NOTA-NOTA SERTA SOALAN DAN SKEMA BIOLOGI DISINI - SILA KLIK

Monday, February 7, 2011

IKHWANUL MUSLIMIN MESIR SEDIA BERBINCANG DEMI RAKYAT


Ikhwanul Muslimin menyatakan kesediaan untuk menyertai perundingan dengan kerajaan dalam usaha menamatkan pergolakan politik negara itu yang berlarutan hampir dua minggu. Pertubuhan itu melahirkan pendirian itu ketika kepimpinan negara itu, diketuai Naib Presidennya Omar Suleiman, memulakan siri perundingan dengan pelbagai pihak sejak dua hari lalu.

Kumpulan Islam itu memberitahu Reuters, perundingan akan bermula hari ini dan mereka akan menilai sejauh mana kerajaan bersedia untuk “menerima tuntutan rakyat” — yang mahukan perubahan kepimpinan dengan Presiden Hosni Mubarak berundur.

Ikhwanul Muslimin, yang ditubuhkan pada 1928 dan pernah diharamkan oleh kerajaan tetapi memperluaskan pengaruhnya dalam pilihan raya negara itu sehingga mencetuskan kebimbangan rejim Hosni.

Tahun lalu Ikhwan berpendirian, tidak akan menyertai sebarang perundingan dengan rejim, telah mengubah pendiriannya ketika menghadapi krisis kini.

Manakala Hosni Mubarak masih menolak desakan penunjuk perasaan agar beliau berundur sekarang.

Kata Hosni, beliau tidak akan mempertahankan kedudukannya buat penggal keenam pada pemilihan presiden September ini tetapi penunjuk perasaan mahukan pendirian sebaliknya dengan meninggalkan jawatan itu segera.

“Kami sudah memutuskan untuk menyertai satu pusingan dialog untuk menilai keseriusan pegawai kerajaan ke arah memenuhi permintaan rakyat dan kesediaan mereka memberikan respons kepada tuntutan itu,” kata seorang jurucakap Ikhwanul Muslimin kepada agensi berita Reuters.

Ikhwanul Muslimin yang dilihat paling berpengaruh dan mempunyai struktur lebih tersusun sebagai barisan pembangkang, tetap kekal sebagai pertubuhan yang dilarang secara rasmi dalam arus perdana politik negara itu.

Ia berhadapan dengan tekanan kerajaan pada 1980-an dan terus berusaha untuk menyertai politik arus perdana.

Pada 1984, ia membentuk pakatan dengan parti Wafd dan kemudian berganding dengan parti Buruh dan Liberal tiga tahun kemudian untuk menjadi pembangkang utama.

Pada 2000 Ikhwanul memenangi 17 kerusi Parlimen dan lima tahun kemudian 20 peratus kerusi yang ditawarkan.

Hosni, yang memegang jawatan presiden sejak 1981, mempersalahkan Ikhwanul Muslimin berhubung kebangkitan rakyat yang disaksikan sekarang di mana tunjuk perasaan masuk hari yang ke-13.

Ikhwanul Muslimin pula menafikan dakwaan bahawa ia mahu mewujudkan negara Islam di Mesir.

Pengerusi Ikhwanul Muslimin Dr Mohamed Badie (gambar) telah menyatakan protes yang bermula pada 25 Januari telah menanamkan rasa kebanggaan yang luar biasa di kalangan rakyat Mesir.

Katanya, dunia menjadi saksi bangkitnya orang Mesir menyuarakan rasa mereka tanpa rasa takut menentang kezaliman rejim diktator selama 30 tahun.

Beliau melalui laman ikhwanweb menyambut dan menyokong dialog yang konstruktif bersama seluruh pembangkang Mesir.

Dengan menghormati semua mazhab, menuntut kesamarataan bahawa kepada semua pihak, ikhwan akan menghormati tanpa syarat tuntutan mereka mestilah dipenuhi.

Beliau menyatakan, sejak penubuhannya, Ikhwan telah bekerja untuk mencapai reformasi menyeluruh di semua bidang pembangunan politik, ekonomi dan sosial dan berusaha untuk mengembalikan kedaulatan rakyat dan hak-hak melalui strategi damai.

Oleh kerana itu, Ikhwan menyambut dialog terbuka dengan syarat bahawa itu adalah benar-benar demi kepentingan terbaik negara dan sesuai dengan kehendak massa.

Difahamkan Barat khususnya Amerika Syarikat juga sudah mula menunjukkan kesediaan menerima Ikhwanul Muslimin dalam arus perdana politik Mesir.

No comments:

Post a Comment