







Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
LAGU KEBANGSAAN MALAYSIA
SEJARAH LAGU KEBANGSAAN
Satu lagi sumber mengenai asal usul lagu Negaraku ialah cerita yang disampaikan oleh Raja Kamarulzaman anak kepada Raja Mansur yang pernah menjadi juruiring kepada Sultan Idris. Beliau menyatakan bahawa lagu Terang Bulan ini mula dijadikan Lagu Kebangsaran Negeri Perak pada tahun 1888 apabila Sultan Idris melawat London iaitu setahun selepas baginda ditabalkan. Baginda Sultan Idris berangkat ke London untuk menghadiri Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria pada tahun 1888. Setibanya rombongan Diraja di London sebagai persediaan, wakil Permaisuri Victoria telah meminta not Lagu Kebesaran Negeri Perak dari Raja Mansur, juruiring Sultan Idris. Mengikut amalan protokol ketiga itu Lagu Kebesaran Negeri Perak akan dimainkan sebaik sahaja baginda Sultan berangkat masuk ke dewan majlis di mana istiadat yang berkenaan dijalankan. Untuk mengelakkan malu maka dengan kebijaksanaan dan daya usaha Raja Mansur, beliau telah menyatakan bahawa not lagu tersebut terlupa dibawa. Walau bagaimanapun, Raja Mansur memberitahu wakil Permaisuri bahawa sekiranya wakil Permaisuri dapat menyediakan seorang pakar muzik yang boleh membuat not lagu, beliau boleh membunyikannya dengan cara bersiul. Lagu yang disiulkan itu adalah lagu yang sangat popular dan digemari oleh penduduk Negeri Perak. Maka dengan itu Lagu Kebesaran Negeri Perak buat kali pertamanya dimainkan secara rasmi pada Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria di London dan lagu itu ialah lagu Terang Bulan.
Tuan Haji Mubin Sheppard yang pernah memegang jawatan Pengarah Arkib Negara telah membuat penyelidikan mengenai asal usul lagu Negaraku ini. Beliau mendapati cerita dari dua adik beradik iaitu Raja Aminah binti Almarhum Sultan Abdullah dan Raja Halijah binti Almarhum Sultan Abdullah dan juga dari Raja Kamarulzaman. Mengikut dua adik beradik ini kali pertama mereka mendengar lagu ini yang sekarang dikenali sebagai Negaraku ialah di Mahe, Kepulauan Seychelles di mana ayahanda mereka iaitu bekas Sultan Perak, Sultan Abdullah menetap dalam buangan. Mengikut mereka lagu tersebut sangat popular di pulau tersebut dan selalu dimainkan oleh Pancaragam Perancis yang biasanya memainkan pelbagai lagu dan membuat pertunjukkan konsert untuk orang ramai di pulau berkenaan. Adalah dipercayai melodi ini telah digubah oleh seorang ahli Muzik bangsa Perancis bernama Pierre Jean de Beranger yang lahir di Perancis pada tahun 1780 dan meninggal dunia pada tahun 1857.
Raja Kamarulzaman juga ada menceritakan bahawa lagu ini telah diperkenalkan oleh Bangsawan dari Indonesia yang sedang membuat pertunjukan di Singapura. Dalam tempoh yang singkat lagu ini telah menjadi popular di Singapura dan diberi nama Terang Bulan. Walaupun lagu ini menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak namun ia dimainkan juga di majlis-majlis sebagai lagu hiburan. Pada masa itu lagu ini terus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak sehingga dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia dengan nama Negaraku.
PEMILIHAN LAGU NEGARAKU
Jawatankuasa pemilihan ini terdiri daripada :
Pengerusi : | 1. | Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj |
Ahli-ahli : | 2. | Tuan Haji Mustafa Albakri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu mewakili Raja-raja. |
| 3. | Dato’ Abdul Razak Hussein, Menteri Pelajaran. |
| 4. | Encik Ya’akob Latiff, Pengarah Penerangan. |
| 5. | Encik D.S.P. Croft, Pengarah Muzik, Band Polis Persekutuan. |
| 6. | Kapt. Lenthall, Pengarah Muzik, Askar Melayu. |
| 7. | Encik A.T. Read, Pengarah Penyiaran Radio. |
Jawatankuasa ini menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh. Mereka meneliti setiap lagu yang diterima. Namun demikian Jawatankuasa ini berpendapat bahawa tidak ada sebuah lagu dari 514 lagu yang dikemukakan yang dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan. Jawatankuasa ini kemudian berpendapat satu cara lagi untuk memperolehi lagu kebangsaan yang baik ialah dengan menjemput beberapa penggubah lagu yang ternama untuk menciptanya. Dengan itu jawatankuasa ini membuat keputusan mempelawa beberapa penggubah lagu yang masyhur bertaraf antarabangsa untuk mencipta khas lagu kebangsaan ini. Mereka yang dijemput khas untuk menggubah lagu kebangsaan ini adalah terdiri daripada :